KUALA LUMPUR: Mahkamah Luxembourg mengeluarkan arahan sitaan terbaharu kepada dua anak syarikat Petronas, lapor Reuters.

Ia susulan tuntutan daripada waris kumpulan Sulu bagi kuat kuasa anugerah AS$15 bilion yang diperolehi mereka terhadap aset kerajaan Malaysia.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Reuters daripada peguam waris kumpulan Sulu, mereka memohon untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.

Ia berhubung tuntutan waris kumpulan itu terhadap Malaysia mengenai hak penguasaan kawasan yang dikatakan dimeterai pada zaman penjajahan.

Malaysia yang tidak menyertai timbang tara itu kekal menyifatkan proses tersebut sebagai tidak sah.

Petronas sebelum ini memaklumkan akan menentang sebarang dakwaan yang dibuat ke atas asetnya dan Malaysia kekal berpendirian untuk mengambil segala langkah undang-undang untuk melindungi semua asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan daripada disita di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 26 Januari lalu memaklumkan, Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai waris kepada Sultan Sulu apabila Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari mengetepikan perintah penahanan (attachment order) yang dipohon pihak terbabit.

Perintah penahanan yang diketepikan itu dipohon berasaskan dua penganugerahan timbang tara (purported arbitral awards) yang dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah iaitu Dr Gondoza Stampa.

Katanya, ketika itu Stampa menganugerahkan kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion).

Beliau berkata, Malaysia membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang sudah dirancang oleh penuntut dan mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Stampa serta 'anugerah' yang diberikan.

Petronas dalam kenyataan pada Khamis, mengesahkan arahan sitaan Mahkaman Luxembourg ke atas dua anak syarikatnya.

Petronas turut berkata, tuntutan waris kumpulan Sulu itu tidak berasas dan akan terus mempertahankan pendirian undang-undang.